Followers hananmusleemah

Friday, August 13, 2010

4 soalan di Padang Mahsyar

Di Padang Mahsyar semua manusia akan ditanya tentang 4 perkara yang sama seperti yang diceritakan dalam satu hadith:

Dari Abi Barzah al-Aslami r.a., dari Nabi s.a.w, sabdanya:

“Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari qiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?”

Empat perkara itu ialah:

1.Umur – dimana dihabiskan, untuk maksiat atau taat, nabi memuji orang yang “tua dalam Islam” iaitu orang-orang yang Islam sejak dari muda lagi. Kata Nabi lagi, Orang yang paling baik ialah orang yang umurnya panjang dan lidahnya masih basah berzikir mengingati Allah. Dalam satu hadith qudsi, Allah bersama orang yang berzikir selagi bibir mulutnya masih bergerak mengingatinya.

2.Ilmu – Antara ilmu yang wajib dipelajari ialah Fardhu Ain seperti ilmu akidah iaitu ilmu tentang ketuhanan. Selain itu apa-apa ilmu yang dipelajari hendaklah diamalkan walaupun ianya hanya sunat, (sekurang-kurangnya sekali seumur sehidup-bagi perkara sunat)

3.Harta – Setiap sen yang diterima dan dibelanjakan akan ditanya tentang halal haramnya.

4.Tubuh Badan – Akan ditanya “dimanakah tuanya badan”, samada tubuh badan diguna untuk perkara baik atau jahat.


Difailkan dalam: Hadith

ANDAI INI RAMADHAN YANG TERAKHIR



Andai
kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu siangnya engkau sibuk berzikir
Tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
Mendayu…merayu…kepadanya-NYA TUHAN yang Satu
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu
sholat yang dikerjakan….sungguh khusyuk lagi tawadhu’
tubuh dan qalbu…bersatu memperhambakan diri
menghadap Rabbul Jalil…menangisi kecurangan janji
“innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil ‘alamin”
( Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku…
kuserahkan hanya kepada ALLAH tuhan seru sekelian alam)

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan AL-Quran bakal kau dendang… bakal kau syairkan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih…berqiamullah…bertahajud…
mengadu…merintih…meminta belas kasih
“sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi… aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU”

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru…kita cari…suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiapkan diri…rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
dikiri dan kanan…lorong-lorang redha Ar-Rahman

Duhai Iiahi…
Andai ini Ramadhan terakhir buat kami
Jadikan ia Ramadhan paling berarti…paling berseri…
Menerangi kegelapan hati kami
Menyeru ke jalan menuju ridha serta kasih sayangMu Ya IIahi
Semoga bakal mewarnai kehidupan kami disana nanti

Namun teman
Tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
Apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
Yang mampu bagi seorang hamba itu  hanyalah
Berusaha…bersedia…meminta belas-NYA

Andai benar ini Ramadhan terakhir buat ku
MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH DILAKUKAN

Hakikat Sebutir Permata Hiasan Dunia

Benarlah wanita itu ibarat permata.Kerana kecantikannya, dia dipandang oleh semua manusia.Kerana keindahannya, dia dipuja oleh sekalian insan.Tetapi kerana kehalusan peribadinya, dia dinilai oleh seseorang yang amat mengerti tentang hakikat sebenar seorang wanita.
Keindahan peribadinya ibarat kehalusan seni sebutir permata yang hanya mampu dinilai oleh seorang pakar yang benar-benar mengerti tentang keunikan rekabentuk sebutir permata di antara beribu-ribu permata yang terhampar.

Jadi,andai dirimu tercipta dengan penuh keindahan, bersyukurlah kerana itu adalah anugerah-Nya dan menjadi perhiasan kepada peribadi yang indah.Tiada gunanya rupa yang jelita tanpa pekerti yang mulia.

Andai dikau merasa dirimu tak seindah permata di sekelilingmu, tiada apa yang perlu dirisaukan.Mengapa tak perlu gusar?Itu semua ujian Tuhan untuk menguji keimananmu kepada-Nya serta menguji ketabahanmu pada ketentuan takdir-Nya.Sebenarnya, kehalusan peribadimu menjadi idaman setiap insan yang hanya mencari permata yang hakiki.

Dia tidak memandang pada keindahan luaran, tetapi dia hanya meneliti keindahan dalaman, kesempurnaan dari sudut agamanya,yang boleh membimbingnya ke arah jalan yang diredhai Tuhan.Insan seperti ini wujud setiap masa dan di mana-mana saja, cuma kuantitinya sahaja yang agak sedikit berbanding lelaki yang biasa.

Allah sendiri berfirman dalam Surah Ali ‘Imran(3:139) yang mana Allah menegaskan, “Janganlah kamu merasa lemah dan jangan pula kamu bersedih hati,sedangkan kamu orang yang tinggi darjatnya jika kamu beriman,”(ayat ini asalnya ditujukan buat muslimin yang ingin berperang di jalan Allah).

Biarpun ayat ini ditujukan umumnya buat mukminin kerana penggunaan kalimah yang bersifat muzakkar, tetapi ayat ini boleh juga ditujukan kepada wanita kerana di dalam Al-Quran ayat yang ditujukan buat lelaki sebenarnya ditujukan umum buat seluruh manusia lelaki dan perempuan.Jadi, bolehlah ditafsirkan bahawa ayat ini merupakan pujukan lembut daripada Allah buat insan yang beriman yang merasa lemah dan berduka.

Ya, mungkin pada pandangan orang lain dirimu tak sehebat mana kerana keindahanmu tersimpan rapi di dalam diri,namun ianya terserlah pada pandangan insan yang benar-benar memahami peribadi sebenar wanita bergelar muslimah sejati.

Ingatlah,wanita yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik pula (An-Nur,24:26).Semuanya sudah diatur rapi oleh Tuhan.Wanita yang beriman tidak akan sekali-kali dimiliki oleh lelaki yang buruk akhlaknya dan lelaki yang beriman pula tak akan ditemani oleh perempuan yang buruk tingkah lakunya.Ini kerana perkongsian hidup antara yang baik dengan yang buruk tak akan serasi sama sekali.

Buat para muslimin,carilah permaisuri hati yang sempurna agamanya kerana merekalah yang mampu membawa kita ke taman impian di sana nanti,iaitu raudhatul jannah di negeri abadi, insya-Allah.Andai kau mengira permaisurimu tak seindah yang kau impikan, tak mengapa.

Tak dinafikan, memang fitrah manusia menyukai keindahan rupa, tetapi adakalanya apa yang kita suka itu tak semestinya baik untuk kita dan mungkin apa yang kita tak suka itu amat baik untuk kita.Itu semua ketentuan Tuhan.

Tunggulah, kecantikan sebenarnya akan terserlah di akhirat nanti.Pada saat itu barulah kau merasa benar-benar bersyukur kerana mempunyai isteri sebaiknya.Kecantikan di dunia hanyalah kecantikan sementara tetapi di sanalah kediaman yang abadi.Itulah janji Tuhan.Sesungguhnya,Allah tak akan sama sekali memungkiri janji-Nya.

Kesimpulannya di sini, keindahan seorang wanita hanya terletak pada kesempurnaan agamanya.Keindahan fizikalnya hanyalah perhiasan luaran anugerah sementara daripada Tuhan yang mungkin boleh lenyap apabila tiba masanya.Itulah fitrah manusia,tiada apa yang kekal pada kita.Oleh itu, buat semua muslimah, moga artikel ini menjadi penawar kegusaran hatimu. ^-^

“Dinikahi seorang wanita itu kerana kecantikannya,keturunannya,kekayaannya dan agamanya. Maka, pilihlah dari segi agamanya, nescaya beruntunglah kedua tanganmu,”