Followers hananmusleemah

Wednesday, December 1, 2010

Adakah kita Umat Terpilih?

Terdapat 70,000 umat Muhammad s.a.w yang dapat masuk syurga tanpa hisab dan tiada azab. Ini bersumberkan hadis yang diriwayat Bukhari dan Muslim bersumber daripada Ibnu Abbas r.a. Muka mereka bercahaya seperti bulan purnama. Mereka adalah:

1. Ahl al-fadl (ahli kemuliaan)- orang yang menanggung kesakitan apabila diperbo-dohkan, bersabar apabila dizalimi dan memaafkan apabila dilakukan kejahatan terhadap mereka.

2. Ahli as sabr (ahli kesabaran)- bersabar dalam menjalankan ketaatan kepada Allah dan menghindarkan maksiat terhadap-Nya.

3. Jiran-jiran Allah- saling berziarah dalam berkasih-sayang kerana Allah, duduk dan bangun bersama-sama saudara mereka kerana Allah.
(hadis riwayat Abu Nu'aim daripada Ali bin Husain)

4. Orang yang mati dalam perjalanan ke Mekah samada pergi atau balik
(hadis riwayat Jabir)

5. penuntut ilmu, perempuan yang taat kepada suami dan anak yang berbakti kepada ibu bapa
(hadis marfu' sumber Abu Ayyaub al-ansari)

6. Sesiapa yang berjalan kerana hendak menunaikan hajat saudaranya yang muslim sehingga tertunai hajat itu dan meniggal dalam masa tersebut. (hadis marfu' sumber daripada Anas)

7. Sesiapa yang mengasuh kanak-kanak sehingga berupaya mengucapkan 'lailahaillallah"
(hadis sumber daripada A'isyah r.a)

8. Orang islam lelaki dan perempuan yang mati pada malam dan siang hari Jumaat
(hadis marfu' sumber daripada 'Ata')

9. Hamba yang bersabar apabila diuji dengan bala bencana pada tubuhnya dan anaknya
(hadis marfu' riwayat Hakim at-Tirmidzi)

10. Orang yang menggali perigi di tengah padang dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran Allah
(Ibn Mas'ud)

seronoknya seperti burung-burung yang berterbangan bebas...
Al-Hakim dan al-Baihaqi mengeluarkan hadis yang bersumber daripada Jabir secara marfu': "Barangsiapa yang lebih kebajikannya atas kejahatannya, maka mereka itulah yang masuk ke syurga tanpa hisab, dan barang siapa yang sama kebajikannya dan kejahatannya maka mereka itulah yang dihisabkan dengan hisab yang sedikit, dan barang siapa yang kejahatannya lebih banyak, maka dialah yang diberikan syafaat setelah menerima siksaannya."

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang dapat masuk syurga tanpa hisab dan dibentangkan suratan amal. Tajdidkan niat. Ikhlaskan diri. Biar tidak dipuji manusia. Pentingnya adalah nilaian pandangan Allah taala.

BAHAGIA ITU ADA PADA HATI,BAHAGIA ITU DATANGNYA DARI CINTA KEPADA ALLAH...

.berbisik dengan Asma' Agung, Rabbul Jalaali wal Ikram...
...بسم الله الرحمن الرحيم...

Manusia akan sentiasa mengeluh
akan sering mendomba
selalu merasa resah dan hiba
mula mencaci-caci tuhannya
apabila diuji dengan PENDERITAAN....

Allah menarik satu nikmat
sahaja
satu sahaja
sedangkan nikmat yang lain masih dibekalkan
masih mengalir dalam setiap tubuhmu
dalam desus nafasmu..

mengapa harus mengeluh dengan satu penderitaan tersebut
sedangkan dalam masa yang sama masih beroleh SEJUTA KENIKMATAN dariNya??

sabarlah hati
tenanglah jiwa..

pejamkan matamu
kucup manja hatimu
katakan pada diri...

"Tuhan..
barulah aku merintih saat ini
dengan kenikmatan yang satu itu..
sedangkan aku tidak pernah mensyukuri
sejuta kenikmatan yang Kau hidangkan padaku"


****

...ketahuilah sebenarnya
Dia ingin kau lebih dekat padaNya...

Monday, November 15, 2010

Setiap yg hidup pasti kan kembali kpd penciptanya

Assalamualaikum....alhamdullilah..beberapa hari yang lalu...perkhabaran gembira atas penyatuan hati buat kak umu dan ustaz ishak...tahniah yer ...


Dan semalam ku dikejutkan dengan berita pemergian bapa kepada seorang teman blogger yang rapat dengan ku...ZAINAB BT ZAKARIA...pemergian ayahanda tercinta ZAKARIA BIN ISMAIL,ckup membuatkan diriku sebak,sedih....innalilahiwainilaihirojiun....buat zai...ayu tau zai tenang dan kuat tuk menghadapi semua ni...ayu tau zai seorang yang sabar...setiap yang hidup pasti,pasti dan pasti akan kembali kepada penciptanya....hanya doa yang dapat menggantikan setiap kesedihan...AL- FATIHAH UNTUK
 ZAKARIA BIN ISMAIL...moga  roh nya diletakkan di kalangan para soleh dan solehin...

Wednesday, November 10, 2010

Bukan Paras Rupa...

assalammualaikum..alhamdullilah...setelah lama menyepi membiarkan blog ini bersawang tanpa khabar,tetapi kali ini ku cukup terkesan dengan sebuah entry,cukup memotivasi,cukup memberi pengajaran,peringatan untuk diriku yang bergelar seorang muslimah...bukan paras rupa menjadi ukuran tetapi amalan!...
Add caption
Firman Allah;
"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" [Al-An'am (6):32]


Dipetik dari sebuah blog...harapkan halalkan..untuk motivasi bersama
Jika melihatnya tanpa mengenalinya, atau melihatnya dengan mata kasar secara sepintas lalu, ku rasa, ramai yang akan kata tak ada apa-apa yang istimewa tentang dirinya.

Bukan langsing badan bak Hymenoptera yang ada padanya, bukan putih kuning kulitnya bak Grylloblattaria, atau mata galak Kim Tae Hee yang bersinar bak Odonata.

Bukan. Bukan. Kakak ini kulitnya hitam manis, serta badannya berisi. Bagi seorang yang beautylistic, mungkin tiada apa yang menarik ada pada dirinya.

"Kak, kenapa tu...?" soalku perihatin tatkala kami terserempak semasa sama-sama menjemur pakaian di ampaian depan bilik. Mataku tertancap pada bibir atasnya yang membengkak dan berwarna kelebaman [ungu kehitaman].

"Memang macam ni... kamu tak perasan ke? bibir akak ni memang sensitif sikit... ada masanya memang terjuih jadi macam ni.. hodoh kan.." jawabnya sambil sempat tersenyum.

Aku segera menggeleng.

"Buruk-buruk pun pemberian Allah..." katanya bermakna.

Demi Allah, aku kagum dengan ketabahan & ketenangannya. Sedang aku baru Allah uji sedikit sudah banyak merungut.

Dan setelah lama ku perhatikan dirinya, ku kini menyedari betapa banyaknya keistimewaan yang Allah berikan kepadanya yang mungkin tidak ada dalam diriku yang hina ini.

Suatu subuh, sayup2 kudengar suara perempuan mengaji. Mataku yang ralit [hampir terlelap] tiba-tiba jadi segar. Segera aku bangun untuk lihat jam.

"Baru pukul 6." bisikku. Selalu kalau tidak ada kelas pagi, aku bangun pukul 6.15-6.30 pagi. Atau lebih awal kerana suara azan yang berkumandang dengan izhar halqi [jelas & nyata] dari bilikku.

Lalu, ku amati suara tersebut. Tidak terlalu kuat, tetapi dapat kudengar jelas butir bacaannya.

Spontan ada genangan dalam mataku.
"Ya Allah... sedapnya suara..." bisikku perlahan.

Aku tahu.. itu kakak sebelah bilik. Ku kenal suaranya kerana selalu ku dengar dia mengaji selepas solat maghrib. Bibir & mulut yang selalu ramah menegur & menyedekahkan sebuah senyuman ikhlas buatku. 

Seterusnya, ada suatu malam yang dingin... saat aku sibuk menyiapkan tugasan. Waktu itu aku lihat jam sudah melewati pukul 3 lebih. Mata mula mengantuk. Ku tahan lagi 5 minit, tersengguk-sengguk jadinya. Langsung aku mengalah & bangkit untuk mencuci wajah & mengangkat wudhu' sebelum ke 'peraduan'.

Sewaktu berada di bilik air, ku terserempak lagi dengan kakak itu. Dia tidak perasan akan kelibatku. Ku lihat dia leka mengangkat air wudhu'-nya. Setelah selesai dia berwudhu' barulah ku menegurnya.

"Lewat tidur kak?" 

Kulihat dia tersenyum. Dia menggeleng.

"Taklah. Baru bangun tidur..." 

"Stay up ke? Ada test?" Tak tahulah kenapa aku begitu benak sekali waktu itu sehingga menyoalnya sebegitu.

Dia tersengih lagi. Lalu menggeleng.

"Nak dating. Malam-malam macam ni tak ada orang ganggu. Tenang sikit..." katanya ringkas sebelum meminta diri untuk pulang ke biliknya.

Disebabkan kelembapan neuronku menghantar impuls ke otak, maka lambat aku menginterpretasikan makna 'tersirat' di sebalik kata-kata beliau itu.

Pap! Wajahku terasa panas.

Ya Allah! Tahajud malam hari! 

Astaghfirullah.. berkali-kali aku memohon keampunan Allah atas ketidaksopanan kata-kataku kepada kakak itu sebentar tadi.

Maka, biar ku beritahu kamu keistimewaan dirinya..

Bukan wanginya dia dari perfume berjenama, bukan cantiknya dia dari perhiasan ratusan harga, bukan manisnya dia dari lenggok langsing badan Jamu Mak Dara...

Tapi aku merasa sangat rendah diri apabila berhadapan dengannya. Solatnya sentiasa awal waktu, selalu berjemaah ke surau sedang aku masih terkocoh-kocoh menyiapkan diri, sering bertahajud malam saat aku masih dibuai lena, lunak suaranya mengalunkan kalamullah menggetar naluri rasa...

Mungkin inilah yang Allah ingin tunjukkan padaku... makna sebenar daripada ayat ini;


"Sesungguhnya Aku jadikan apa yang di muka bumi sebagai perhiasannya, supaya Kami uji manakah di antara mereka yang lebih amalannya. Sesungguhnya, Kami jadikan di muka bumi tanah yang kering (tidak ada tumbuh-tumbuhannya.) [Al-Kahfi: 8-9]
Sabda Rasulullah SAW;
"Sepeninggalanku, sungguh akan datang dunia yang memakan imanmu bagai api yang membakar kayu.."
Baginda bersabda lagi;
"Dunia itu mencari dan dicari. Pencari akhirat akan dicari dunia hingga di situ sempurnalah rezekinya. Sedangkan pencari duniaakan dicari akhirat sehingga maut datang mencengkam lehernya."

Ramai orang yang berbibir mungil, kemerahan, seksi, tapi sibuk mahu terjuih2, perasan tangkap gambar sendiri dan tunjukkan di fb untuk dipuji & dipuja oleh yang bukan halal.

Jika begitulah gayanya, mahal & indah lagi bibir kakak yang selalu memuji-muji Tuhan dalam Tahajudnya. Mengalunkan ayatul Quran untuk membersihkan hatinya!

Benar kata Rasulullah SAW, wanita negro yang hitam dan tebal bibirnya itu lebih baik dari wanita yang indah parasnya jika dilihat dari agamanya.

Tujuan utama aku menulis entri ini adalah untuk menegur diriku yang selama ini terlalu merisaukan penampilan diri. Berat badan naik risau, jerawat naik risau... padahal, begitu banyak hal lain yang patut dirisaukan selain hal keduniaan. 

Ingatlah, buruk, cantik, gemuk atau hodoh, semuanya adalah Allah yang punya. Dari merisaukan apa yang bukan milik kita, baik kita merisaukan apa yang kita patut miliki tetapi belum kita miliki; amalan kita!

Orang lain amal dah bertimbun... kita masih lagi terbuai dalam lena. Orang lain dah sampai ke bulan. Kita masih berkayuh dalam sampan bocor...

Dalam banyak-banyak perkara yang sangat kurindui dari sidang lepas adalah suara roommate-ku yang syahdu mengalunkan ayatul Quran. Namun, subhanallah, Maha suci Allah, Dia menggantikan suara syahdu itu dengan suara lunak dari kakak; jiran sebelah bilikku. 

Kepada akak yang manis, terima kasih kerana menyedarkanku kembali tentang matlamat sebenar hidupku ini..

Akhir kalam,
Renungilah firman Allah;

"Dan diletakkan buku (amalan tiap2 manusia) maka kau lihat orang2 yang berdosa gementar ketakutan, kerana melihat apa yang ada & tertulis dalam buku amalannya."[Al-Kahfi: 49]

Ukuran nilai seseorang hamba di mata Allah adalah bukan melalui kecantikannya, kedudukannya, pangkat & rimbunan hartanya, tetapi melalui ukuran ketaqwaannya...


Wallahu 'alam..

Tuesday, October 26, 2010

Seandainya telah Engkau ciptakan..

Seandainya telah Engkau ciptakan....
Dia milikku tercipta buatku...
Satukanlah Hatinya dengan hatiku..
Janganlah cintaku melebihi cintaku padamu ya allah...

Saya bertanya kepada emak,
“mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang? ”
Mak jawab, “dua-dua bukan..”
Saya tercengang..Mak mengukir senyuman.

“Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah..” Saya menarik nafas dalam-dalam.

“Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?” Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.


Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya.

“Yang paling tahu hanya Allah..” mak merenung dalam-dalam wajah anaknya. “Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.. ” mak menyusun ayat-ayatnya.

“Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjolkan oleh seseorang tu..”
Saya memintas, “Tak faham..”

Mak menyambung “Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah..”
Mak menyambung lagi, “…begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu..”
Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. Mak menyambung,
“Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki,jodoh dan maut sejak azali lagi..Persoalannya ialah.. Siapakah jodohnya itu?” mak berhenti seketika. Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak buat-buat tidak nampak.

Secret Admire
“Kakak, mak dulu masa besar ada secret admire.. Rajin betul dia hantar surat..Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal..Dan masa tu mak tekad tak mahu layan sebab mak takut arwah tokwan kena seksa dalam kubur.. Mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. Mak nak belajar sungguh-sungguh.. Lama budak tu tunggu mak.. Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak.. Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu.” Mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..
“Mak memang tak ada perasaan langsung pada dia ke?” saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak.

Emak ketawa kecil. “Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu.. Mak takut pada Allah. Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.. Mak, seperti kakak..” mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.
“Mak anak ustaz ustazah.. Tapi zaman tu ustaz ustazah nya masih berkebaya pendek dan ketat. Tok wan mak, kiyai. Mungkin berkat doa keturunan sebelum ni yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada sesiapa yang mendorong.. Bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung.. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan gelaran mak Aji.. Sebab zaman tu hujung 70an dan awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya..Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung. Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya..” emak melemparkan pandangan ke lantai.
“Selepas tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan..” sambung emak. Ada getar di hujung suara emak.
Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.
“Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama.

Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak..” mak menelan air liurnya. Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.

Adakah ia suatu diskriminasi?
“Kakak.. Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni..Tetapi kita kena ingat.. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai.. Bercouple mungkin.. Tetapi bukan berkahwin.. Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali.. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya..”
Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak. Emak meneruskan,

“Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi hambaNya..Sesungguhnya, yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. Sebabnya hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya.

Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan.

Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain.. Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah.. Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya.” emak berhenti seketika..
Bukan luar biasa
Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini. “Kakak.. jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa.Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang.. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju.

Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah.. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beritahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata.. ”

“Kakak.. Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya.. Hanya Allah yang boleh memegangnya.. Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..

Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti. ”

Redha
“Kakak.. Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kakak, terimalah dengan hati yang redha.. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah..

Tapi kalau dapat yang kakak tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak.. Alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. ”

Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri.


Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat. “Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah.. Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara..”

Emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya.

ketawa mematikan hati....

Sejak kebelakangan ini, sy banyak ketawa,dan kerana terlalu banyak ketawa itulah telah membuatkan sy melakukan satu kesilapan, satu kecuaian yang membuatkan  saya rasa khilaf...kerana ketawa itulah sy lagha...terlalu bergembira,,,sehinggakan memakan diri sendiri...memang benar ketawa itu mematikan hati...

artikel dibawah yg sy ambil dari sebuah blog untuk pengisian dan peringatan bersama....


Hati menjadi beku, mati akibat ketawa melampau




SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup. Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan atau penderitaan. Ketawa pula selalu menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasai.


Islam tidak melarang umatnya melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan. Ini bagi mengelakkan umat Islam dipandang rendah martabatnya oleh orang lain. Ini menyingkap sirah Rasulullah ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah.

Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan bersama Nabi Muhammad di medan peperangan. Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal berperang dengan kekuatan tentera musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.
Berikutan peristiwa itu,

Allah berfirman bermaksud: “Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan.” (Surah at-Taubah: 82).
Jelas daripada maksud ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan. Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku keadaan yang melampau.
Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)
Sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Hal ini kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.

Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan akan lebih mengundang perkara negatif. Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri.
Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara.
Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia.
Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan.


Thursday, October 21, 2010

soleh- solehah?????

Jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh. Bertemu yang solehah, solehahnya dia belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah..kerana si soleh dan si solehah adalah insan biasa. Perkahwinan adalah sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI